Assalamualaikum....
Salam pertemuan, pada petang ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dan peristiwa yang kadangkala memeningkan kepala atau membuatkan kita dalam dilemma. Sebagai seorang yang menjawat jawatan dalam suatu perkhidmatan awam, saya seringkali sukar membuat keputusan antara tanggungjawab dan arahan. Apatah lagi, suatu arahan tersebut dikeluarkan oleh seorang pegawai yang tidak mempunyai tanggungjawab secara langsung kepada kita. Hari-hari berlalu, saya pernah dan terus diasak untuk melakukan tugasan yang langsung tidak berkaitan dengan norma jawatan hakiki semasa. Misalannya, seorang pegawai perkhidmatan sains diarah menjalankan tugas yang berhubung kait dengan urusan kewangan.
Sebenarnya, ketersampaian perkhidmatan awam amat sukar untuk dilaksanakan sekiranya pegawai-pegawai atasan tidak memahami tugasan setiap anak buahnya, tambahan pula melibatkan penjawat dari beberapa atau berbagai-bagai klasifikasi perkhidmatan.
Adakala terasa juga hati ingin memberontak, namun apakan daya kita ini hanyalah penjawat kategori sokongan. Ketidakadilan seringkali wujud dalam perkhidmatan, apatah lagi melibatkan kakitangan yang berkhidmat disebalik tabir yang nyata sekali jarang sekali menyerlah seperti mereka yang berada dibarisan hadapan atau pentadbiran.
Penilaian prestasi pula adakala dilakukan oleh pegawai-pegawai yang tidak mengetahui secara langsung tentang tugasan dan deskripsi seseorang penjawat. Bahkan walau sehebat mana sekali pun seorang penjawat itu melaksanakan tugasannya, tiada sebarang bentuk penghargaan yang diberikan. Apa pun, saya menegaskan sebagai seorang penjawat awam, kami tidak meminta-minta sebarang penghargaan tetapi mengharapkan suara kami didengar dan diperhalusi.
Sungguh pun terdapat kesatuan sekerja yang memperjuangkan hak dan tuntutan ahlinya, tidak semua yang diperjuangkan meliputi keseluruhan aspek dan keperluan ahli diperingkat akar umbi. Sebagai contoh, seorang pembantu makmal menjalankan tugas-tugas di makmal adakala dikehendaki menjalankan tugas di pejabat pentadbiran. Walhal pembantu makmal adalah dari klasifikasi perkhidmatan sains, bukankah klasifikasi N lebih layak melaksanakan tugas sedemikian.
Akhir sekali, saya amat berharap agar pihak atasan meneliti had dan tanggungjawab mereka serta batasan-batasan dalam memberi arahan.
Kami bukannya hamba kepada Manusia tetapi kami adalah hamba kepada Allah
Salam hormat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan