Salam sejahtera!
Hari ini 25 Disember 2009, rupanya kita kini dipenghujung tahun 2009. Tidak lama lagi, tahun 2010 pula menjelang. Jika diizinkanNya, mungkin kita akan dapat menikmati dan menjalani hari-harinya sama ada dengan kebahagiaan, kedukaan, kejayaan dan kegagalan.
Namun hari ini nampaknya srikandi yang telah membuka pintu hati, terlalu emosi dengan keadaannya. Mungkin peristiwa yang berlaku dalam hari-hari yang lalu memeritkan emosi, hati dan nuraninya. Hari ini saya dalam keadaan sentimental dan tidak banyak dipengaruhi oleh emosi.
Sewaktu berada di gudang membeli peralatan dan perkakasan elektrik untuk kegunaan kerja-kerja pendawaian elektrik (saya secara separuh masa bekerja sebagai pendawai elektrik),saya menerima panggilan dari seorang srikandi yang berasal dari Negeri Kelantan.
Dalam panggilan tersebut saya telah diceritakan sebuah peristiwa dan mungkin keadaan yang telah terjadi padanya. Pada pandangan saya, mungkin srikandi tersebut telah ditipu oleh seorang penjaga ketenteraman yang bernaung di pusat pentadbiran negara. Saya mendengar dengan teliti dan syor saya kepadanya agar tidak berkomunikasi dengan penjaga ketenteraman yang telah pun beristeri.
Mungkin kerana perkata yang dikeluarkan berbentuk serius, maka srikandi menjadi marah dan penuh emosional. Kemudian hamburan ayat-ayat dilepaskan kepada saya. "Jangan telefon saya" dan kemudiannya diakhiri dengan salam, itulah sebahagian hamburan yang diterima.
Tergamam saya apabila ayat yang terbit dari mulut seorang srikandi tersebut, pada masa yang sama saya sedang menunggang motosikal sambil mengharungi aliran trafik yang agak sibuk di Bandar Teluk Intan. Adakala saya terfikir, apakah srikandi ini benar-benar dalam keadaan emosi yang tertekan atau sebaliknya. Apakah impian dan emosinya seringkali bertembung dengan aliran yang negatif.
Sebagai seorang lelaki, saya tidak pernah sama sekali mencemuh walaupun sebegitu teruk dicemuh oleh mana-mana insan. Bahkan saya mengharap setiap bentuk tekanan atau kesilapan mahu pun kealpaan dijadikan pengalaman dan pengajaran agar kita terus kekal matang.
Akhir sekali, adakah kewujudan manusia sekadar meleraikan sesebuah hubungan akrab sama ada sebagai kawan, sahabat atau teman? Marilah kita bersama-sama meneliti seluruh keadaan dengan hati, emosi dan naluri yang positif
"Sesungguhnya hati penyudah kepada keputusan, impian dan emosi perlukan pertimbangan hati untuk memuktamadkan setiap urusan"-Mohd Zainor Hasrin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan