Liku Kehidupan Sebenarnya Mematangkan Insan

Pengalaman dan kematangan seseorang terletak pada cara serta respon pada setiap keadaan yang timbul

18 Disember 2009

Salam Maal Hijrah (1431H)

Alhamdulillah dan syukur ke hadratNya, kerana saya masih lagi berkesempatan menghirup udara di pagi yang indah dan damai ini. Sedar atau tidak, Maal Hijrah kini menjelma lagi dan mengingatkan saya kepada azam dan semangat baru.

Hari ini , 1 Muharam 1431 merupakan hari permulaan dalam tahun Islam. Rupa-rupanya tahun 1430 Hijrah telah meninggalkan kita dengan sebegitu pantas tanpa disedari. Pada ketika inilah saya sedar bahawa kehidupan di dunia ini amat singkat sekali.

Semangat dan azam baru telah pun saya tanamkan dalam diri ini, dengan harapan segala yang dirancang akan berjalan dan terlaksana tanpa halangan. Alangkah indahnya hidup sekiranya dapat menikmati dan mensyukuri semua anugerahNya. Seperti yang saya katakan dikiriman saya yang lepas ( Demi Masa ), selalunya kita leka dan alpa dengan waktu yang sentiasa berlalu. Padahal kita mengetahui bahawa masa yang berlalu tidak akan kembali lagi.

Insyaallah, 1431 Hijrah ini akan saya cuba hiaskan dengan impian dan pengisian yang positif sepanjang perjalanan kehidupan ini. Mudah-mudahan pintu rezeki kurniaanNya akan berlipat kali ganda.

Akhir sekali, 1431 Hijrah akan saya jadikan sebagai tahun mengorak langkah ke suatu dimensi yang berkualiti, efektif dan produktif. Segala halangan akan saya tempuhi dengan penuh kesabaran dan iltizam.

Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan