Liku Kehidupan Sebenarnya Mematangkan Insan

Pengalaman dan kematangan seseorang terletak pada cara serta respon pada setiap keadaan yang timbul

26 Januari 2010

Hubungan & Prasangka : Menilai Diri

Apa erti sebuah persahabatan jika disulami dengan benih-benih prasangka yang negatif? Apakah ianya bakal membawa nilai keutuhan terhadap persahabatan tersebut? Apakah setiap manusia yang berjiwa di dunia ini perlu menerima kenyataan bahawa mereka harus di syak dengan prasangka negatif?

Sudah pasti jawapan yang terbaik adalah tidak perlu sifat prasangka negatif dalam diri. Sebagai insan yang kerdil dan menumpang berteduh di muka bumi ini buat seketika,merasakan punca keruntuhan sesebuah perhubungan dan keakraban disebabkan oleh elemen-elemen negatif pada diri manusia itu sendiri. Hilangnya kepercayaan disebabkan khabar angin, lunturnya keutuhan sebuah persahabatan akibat prasangka negatif.

Pada pandangan saya, berprasangka negatif sebenarnya banyak mengundang bahana berbanding kebaikan. Sifat sedemikian seharusnya dielakkan kerana ia berupaya membinasakan sesebuah hubungan. Dalam kehidupan dewasa ini, saya percaya setiap insan mengimpikan sebuah hubungan yang baik sepanjang masa di antara setiap rakan, kawan dan taulan.

Sebenarnya kita perlu menilai diri kita sendiri sebelum membuat sebarang penilaian terhadap insan lain dengan erti kata lain buatlah semakan terhadap sikap, perlakuan dan pertuturan diri kita. Adalah tidak adil, apabila kita menilai sikap insan lain tanpa menyedari bahawa diri sendiri memiliki sikap yang negatif yang seharusnya diperbetulkan terlebih dahulu.

Sebenarnya, semua keadaan mampu bertahan untuk tempoh sehingga akhir hayat seandainya kita tidak memporak-porandakan kesulitan dalam sesebuah perhubungan. Apa pun harus saya ingatkan untuk diri sendiri, anda yang membaca serta semua insan di dunia ini bahawa "Menilai diri sendiri adalah lebih baik dari menjadi penilai diri orang lain"

Akhir kata, sebuah perhubungan akan sukar diganggu gugat apabila komunikasi 2 hala yang berkesan serta berkualiti diamalkan dalam kehidupan.

Sekian!

"Janganlah menanam benih-benih benci di dalam diri, kelak diri sendiri akan dibenci"-Mohd Zainor Hasrin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan