Assalamualaikum....
Rasanya macam dah lama membiarkan blog ini dalam keadaan terbiar.. Pejam celik rupanya dah 8 tahun saya berkhidmat di jabatan kerajaan. Banyak pahit, duka dan lara yang telah dilalui berbanding manis serta keseronokan.
Apa tidaknya, setiap kali merancang sesuatu aktiviti pastinya wujud halangan. Meletihkan itulah yang mampu dikatakan. Sering kali permintaan dan permohonan yang dibuat ditolak mentah-mentah oleh kelompok pentadbir. Siapalah diri ini, umpama melukut di tepi gantang ; nasib baik untung sebaliknya rugi.
Minggu ini merupakan minggu yang agak getir kerana jemaah Nazir Persekutuan melakukan lawatan dan semakan data, rekod dan pemantauan selama 3 hari berturut-turut. Berbagai-bagai keluh kesah yang membisik di telinga malah ada juga yang memuji lawatan jemaah Nazir tersebut. Apa pun saya tidak kisah, lagi pun semua urusan pentadbiran telah diselesaikan dan dalam keadaan teratur.
Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi sang rimau yang tinggal di singgahsana. Itulah yang dapat digambarkan buat seseorang yang sering kali cuba mendominasi semua keadaan dan menangguk di air yang tenang. Setenang-tenang air jernih yang didiami sang Bedal, akhirnya bukan setakat udang yang berjaya ditangguk malah sang Bedal juga diangkut.
Hasil kerja dan perit jerih insan lain pula menjadi hasil kerjanya, apakan daya si udang yang berlambak menjadi mangsa si Rimau.
Kesudahan yang agak 'sakit' apabila hasil dapatan mencatatkan arahan pertukaran lebih 5 orang Tarzan keluar dari jabatan ini ke jabatan lain. Siapa punya kerja? Hinggakan tiada lagi Tarzan atau warisnya yang menjadi pengganti.
Dulu bila mesyuarat diadakan, sang Rimau diam menyorokkan taring dan kuku. Tapi kini cengkaman kukunya jauh lebih tajam dan kukuh menerma mangsa. Kasihankan mereka si udang yang tersepit di antara kuku sang Rimau, yang makan tidak tentu hala bahkan tidur pun tidak cukup lena.
Minggu depan menyaksikan sang Rimau bakal di'halau' secara rasmi, saya lega malahan seluruh alam pun turut merasakan ketenteramannya.
Apa pun, saya gerun menantikan kehadiran pengganti penunggu singgahsana sang Rimau.
BERSAMBUNG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan