Arghhhh benci aku! Itulah yang dapat aku ungkapkan bila membaca berbagai komen di salah sebuah laman sesawang berita bebas yang hangat membincangkan isu bahasa Melayu - Inggeris. Sedar atau tidak, jati diri kita sebagai bangsa Melayu yang hidup di Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu kini kian luntur nilai jati diri seorang yang berpegang kepada budaya Melayu.
Tapi tumpuan tulisan ini hanya membicarakan betapa ramainya bangsa Melayu yang masih gah berdiri menyatakan keagungan bahasa Inggeris. Ada kedengaran sebelum ini bahawa bahasa Melayu akan dimertabatkan ketahap yang tinggi, malah kerajaan juga telah mengeluarkan pekeliling perkhidmatan berhubung garis panduan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi di jabatan kerajaan.
Hairan! Ke mana akan lenyapnya bahasa Melayu andai bahasa Inggeris dijadikan keutamaan dalam dunia pekerjaan. Apakah ini wajar berlaku di Malaysia?... Dah pun berlaku. Kita harus melihat negara maju yang menggunakan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa komunikasi bahkan nak ke angkasa lepas pun manual dan garis panduan menggunakan bahasa ibunda. Contoh terbaik, Jepun, Rusia, Jerman, Perancis dan Korea setiap negara berkenaan masih mengekalkan bahasa ibunda mereka sebagai bahasa komunikasi malah penuntut dari luar negara perlu menjalani dan mempelajari komunikasi menggunakan bahasa mereka!
Mendukacitakan ramai warga-warga tertentu di negaraku ini yang mengagungkan bahasa inggeris. Bahkan meletakkan syarat bahasa inggeris sebagai syarat dalam urusan pengambilan pekerja juga pendidikan. Di mana letaknya bahasa Melayu? Di mana? Apakah suatu hari nanti, akan berlakunya kepupusan bahasa Melayu hinggakan perlu diwujudkan muzium bahasa Melayu dan menjadi bahan kajian? Jika ini yang bakal berlaku, sedar atau tidak dunia Melayu akan musnah dimamah zaman bersebabkan kerakusan bangsa Malaysia yang terlalu taksub kepada bahasa penjajah.
Maaf, saya terlalu emosi untuk meneruskan ungkapan. Harapan saya, sedarilah wahai bangsaku dan juga warga Malaysiaku yang tercinta: Bahasa Melayu adalah Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan. Tidak perlulah diagungkan bahasa asing semata-mata hanya kemajuan di mata negara asing, tetapi wujudkanlah kemajuan negara berteraskan kepada penggunaan bahasa Melayu dalam keseluruhan urusan. Mudah-mudahan dengan cara itu dapat lagi kita memertabatkan bahasa Melayu di mata dunia.
Ingat! Presiden Indonesia pernah menggunakan bahasa Melayu dalam ucapannya dikalangan pemimpin ASEAN. Mudah dan difahami oleh kita semua. Ingatlah juga Kepulauan Nusantara ini rata-rata asalnya menggunakan bahasa Melayu.
Saya sesungguhnya MENYOKONG SEPENUHNYA PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA. Turut mengharapkan penggunaan bahasa Melayu dipraktik dalam ucapan dan dialog pemimpin Nusantara.
Insyaallah tidak akan HILANG BAHASA MELAYU DI DUNIA SELAGI IA DIJULANG SEBAGAI BAHASA KOMUNIKASI DALAM KEHIDUPAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan