Pengalaman dan kematangan seseorang terletak pada cara serta respon pada setiap keadaan yang timbul
04 November 2011
Kerja Haramkah Halalkah?
Sedar atau tidak, setiap dari kita bekerja dengan erti kata lain makan gaji. Memang kita bekerja 8 jam sehari dan dibayar upah / gaji. Namun bukan sepanjang masa kita didepani dengan tugasan, adakala pelaksanaannya dilakukan dengan efisyen dan penuh teratur. Apakah perlu kita mencari tugasan sepanjang masa hanya kerana risau kepada halal dan haram hasil upah/gaji? Pada hal tugasan yang dilakukan sebenarnya jika dilakukan secara tidak profesional akan mengambil masa yang panjang dan lama untuk disiapkan.
Mengambil contoh, andai kata doktor dan jururawat bertugas tidak menerima seorang pun pesakit pada hari berkenaan kerana tiada yang sakit, apakah doktor dan jururawat makan gaji buta? Apakah perlu mencari kerja lain seperti menyiram pokok bunga yang sememangnya tugas tukang kebun? Haramkah pendapatannya pada hari itu kerana tidak ada tugas yang perlu dilakukan?.
Andai kata, seorang guru pada jadualnya perlu mengajar di kelas 1B pada jam 8.15 pagi hingga 9.25 pagi tetapi setibanya dikelas berkenaan tiada pelajar di kelas berkenaan kerana semua pelajar tidak hadir ke sekolah dan guru tersebut berada di kelas sehingga tamat masa tanpa mengajar.. Haramkah gaji guru tersebut pada hari itu? Mungkin ada alasan lain oleh insan lain menyatakan bahawa guru tersebut boleh menjalankan tugas menyemak buku dan sebagainya. TETAPI bagaimana pula jika semua tugasan tersebut telah pun disiapkan?
Andai kata seorang pembantu makmal yang bertugas di sekolah telah menjalankan semua kerja pembersihan, rekod, penyimpanan sepanjang hari berkenaan dan keseluruhannya dalam keadaan teratur. Sedangkan kesemuanya telah disiapkan dalam jangka waktu kurang separuh hari. Bagaimana pula status baki separuh hari? Perlukah pembantu makmal tersebut menayangkan muka di pejabat sekolah menagih simpati untuk tugasan tambahan yang sememangnya tugasan penjawat lain. Haramkah gajinya jika pembantu makmal berada di dalam makmal dalam keadaan santai setelah selesai segalanya?
Maaf saya tidak ingin menimbulkan sebarang perdebatan dengan mana-mana pihak. Realitinya setiap tugasan dan peranan seseorang amat berbeza serta bersandarkan kepada keperluan semasa. Namun adakala keadaan rehat dan santai seseorang yang telah melaksanakan tugasnya menjadi hasad dengki orang lain sehingga dilemparkan tohmahan. Malah ada juga disuruh-paksa menjalankan tugas yang sepatutnya dilakukan oleh orang lain.
"Ingat menongkatkan pena di atas kertas bukanlah tanda sebenar melakukan kerja. Berehat dan santai bukanlah juga tanda tidak bekerja. Segalanya bermula dengan niat.". Z.Z.Hasrin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan